Saturday, April 6, 2013

Melissa Francis Ratu Muzik Dayak

Dipetik daripada http://www.melissafrancisnow.blogspot.com/

Nama Melissa Francis mungkin masih asing bagi peminat di Semenanjung. Bagaimanapun, di negeri kelahirannya, Sarawak, penyanyi ini agak popular terutama dalam kalangan masyarakat Iban.

Bagaimanapun, apabila dirinya turut dicalonkan ke peringkat akhir Artis Wanita Stailo bagi kategori online Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012, tiba-tiba peminat mula menyebut namanya.

Dalam kategori itu dia bersaing dengan nama besar seperti Lisa Surihani, Nora Danish, Stacy dan Yana Samsudin.

Cukup bemakna
Pencalonan itu nyata memberikan semangat baru buat wanita berusia 27 tahun ini dalam memperkembangkan lagi kerjaya seni. Bukan sekadar mengeluarkan karya dalam dialek tempatan, sebaliknya dia berhasrat untuk muncul dengan lagu Melayu bagi pasaran lebih luas lagi.

Berasakan dirinya begitu kerdil dibandingkan dengan calon akhir lain, justeru, dia enggan menaruh harapan setinggi langit. Disenaraikan ke peringkat Top 5 saja sudah begitu bererti buat penyanyi ini.

“Semua ini hasil sokongan peminat yang tidak jemu-jemu mencalonkan nama saya. Dapat masuk ke peringkat akhir saja sudah begitu mengejutkan dan cukup bermakna buat saya. Apatah lagi saya dicalonkan bersama artis yang memang sedia popular dan lebih lama bertapak dalam dunia seni.

“Jadi, saya tidak menaruh harapan untuk pulang dengan kemenangan pada acara ini nanti,” kata Melissa ketika dihubungi HIP.

Hasilkan single Melayu
Penyanyi yang bersedia untuk menjayakan siri jelajah bukan saja di Sarawak, malah di beberapa lokasi lain memberitahu, selama ini kerjaya seninya hanya berkembang di bumi kenyalang.

“Saya lebih banyak dikenali di Sarawak, memandangkan saya lahir di negeri itu dan kerjaya nyanyian pun berkembang di sana.

“Saya mula menyanyi sejak 2003 lagi dan memang saya menyimpan impian untuk menghasilkan lagu Melayu untuk pendengar di Semenanjung,” ujar Melissa yang akan mengeluarkan single berjudul Hujan dalam masa terdekat.

Kali pertama menghasilkan lagu Melayu, Hujan dicipta sepenuhnya komposer dari Indonesia, Yusni Hamid. Komposer terbabit ialah pencipta lagu Hanya Kau Yang Mampu, nyanyian Aizat dan Ku Bukan Milik Mu Lagi (Agnes Monica).

Miliki syarikat sendiri
“Sebelum ini saya banyak buat lagu Iban. Jadi bila saya sudah ada syarikat sendiri, Platinum World Network Sdn Bhd, yang baru ditubuhkan Ogos lalu, saya juga akan keluarkan lagu dan album dalam bahasa Melayu.

“Lagu Hujan pula sudah pun siap dirakam. Kini kami hanya menunggu lampu hijau daripada Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) saja,” katanya.

No comments: