Bayi pengsan ditumbuk ibu
KAJANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lebam di seluruh muka dan berkemungkinan buta mata kanan akibat ditumbuk ibu kandungnya yang di Bandar Sungai Long, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk rawatan selepas tidak sedarkan diri.
Pemangku Ketua Polis Kajang, Superintendan Azman Ayob berkata, mangsa, Yong Kar Sheng turut cedera di kepala serta patah tulang pelipis sebelah kanan akibat dibelasah ibunya.
“Mangsa dihantar ke PPUKM oleh bapanya yang berusia awal 40-an selepas mendapati kanak-kanakitu tidak sedarkan diri. Doktor yang memeriksa mangsa kemudian membuat laporan di pondok polis hospital berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Siasatan awal polis mendapati kanak-kanak itu dipercayai ditumbuk berdasarkan kecederaan teruk pada mata kanannya dan difahamkan doktor yang merawatnya menyatakan kemungkinan mangsa buta akibat kejadian itu.
Azman berkata, mangsa anak bongsu daripada dua beradik dan ibunya, warga China berusia 32 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
“Polis membawa ibu mangsa untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sama ada mengalami masalah mental atau tidak,” katanya.
Menurutnya, wanita itu direman selama empat hari sehingga 16 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
4 mayat wanita rentung ditemui
GUATEMALA CITY: Empat mayat wanita yang rentung, termasuk satu yang dimakan anjing, ditemui di pinggir barat ibu negara Guatemala.
Pembunuhan wanita semakin menjadi-jadi di negara itu di mana ia meningkat sekali ganda sejak 2003.
“Kami menemui mayat tiga wanita yang rentung, termasuk satu yang sebahagiannya dimakan oleh anjing,” kata jurucakap sukarelawan bomba, Mario Cruz kepada wartawan, semalam, sehari selepas satu mayat, juga rentung, ditemui di kawasan sama.
Semua mayat itu ditemui dalam beg plastik yang ditinggalkan di sebatang jalan raya di El Cammpanero, 17 kilometer ke barat Guatemala City.
Setakat ini, belum ada mangsa yang dikenalpasti.
Tahun lalu, lebih 800 wanita dibunuh di negara itu dan kira-kira 98 peratus kes itu belum dapat diselesaikan.
Mengaku liwat 96 budak
JAKARTA: Seorang penjual mainan semalam mengaku memperkosa sekurang-kurangnya 96 budak lelaki.
Penyiasat, Reynold Hutagalung berkata, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di Jakarta minggu lalu selepas ibu bapa seorang mangsanya membuat laporan polis.
Mangsa berusia belasan tahun itu berkata, dia diculik oleh lelaki berkenaan dan ditahan selama 45 hari.
Sepanjang tempoh itu, dia diliwat berulang kali dan dipaksa melakukan aksi seks pada beberapa lelaki lain.
Penjual barang mainan itu mengaku meliwat sekurang-kurangnya 96 budak lelaki berusia antara 13 dan 17 tahun sepanjang dua tahun lalu, kebanyakannya kanak-kanak jalanan yang diambilnya di stesen kereta api, kata Reynold.
“Dia menyimpan senarai dan butiran setiap mangsanya, termasuk nama 16 daripada mereka,” katanya.
Menurut Reynold, tertuduh, bapa empat anak, juga adalah mangsa pecabulan ketika zaman kanak-kanaknya.
Dia berdepan dengan hukuman penjara 15 tahun jika sabit kesalahan.
1 comment:
Sama samala kita dekatkan diri pada Tuhan. Dunia semakin mencabar dan hidup manusia semakin tertekan.
Post a Comment