Thursday, October 28, 2010

daily news pick by me - 28/10/10

Korban tsunami Sumatera 282 orang

JAKARTA – Angka kematian akibat tsunami yang melanda Kepulauan Mentawai dekat Pulau Sumatera meningkat kepada 282 orang manakala 411 lagi masih hilang, kata pihak berkuasa semalam.
Tsunami itu berlaku akibat gempa bumi bawah laut yang kuat pada Isnin lalu di Kepulauan Mentawai dengan kekuatan 7.7 pada skala Richter.
Pihak berkuasa menyatakan beberapa bekalan seperti makanan, selimut dan khemah telah dihantar ke kawasan bencana.
Bagaimanapun, air minuman bersih masih sukar untuk diperoleh dan risiko untuk mendapat penyakit kian tinggi.
Beberapa buah helikopter yang menghantar bekalan kecemasan mendarat di Kepulauan Mentawai semalam.
Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono memendekkan lawatan ke Vietnam ekoran bencana tsunami dan Gunung Merapi di Pulau Jawa.
Tinjauan udara yang dibuat di Kepulauan Mentawai yang dilanda tsunami setinggi tiga meter menunjukkan beberapa kawasanditenggelami air.
Dalam tinjauan itu, sejumlah rumah musnah akibat ombak tsunami.
Sebuah rumah kelihatan senget selepas kejadian ombak tsunami itu berlaku.
Kepulauan Mentawai terletak berdekatan dengan pusat gempa bumi itu.
Menurut seorang pegawai bencana, Ade Edward, sebuah pesawat kargo pertama yang membawa 16 tan khemah, bekalan perubatan dan pakaian tiba pada tengah hari semalam.
Empat buah helikopter mendarat di Sikakap, sebuah bandar di Pulau Pagai Utara di Kepulauan Mentawai.
Ade berharap, operasi menyelamat dan mencari akan ditingkatkan.
“Kami mempunyai peluang kini untuk mencari mangsa yang hilang dengan menggunakan pesawat dan meninjau skala kemusnahan,” katanya.
Seorang mangsa yang terselamat, Borinte, 32, petani dari Kampung Detumonga di pantai Pagai Utara, berkata, dia terselamat selepas berpaut pada sebatang kayu.
Namun, isteri dan tiga anaknya meninggal dunia.
“Kira-kira 10 minit selepas gempa bumi itu, kami mendengar bunyi yang kuat, bunyi seperti guruh. Kami keluar dari rumah dan melihat ombak datang. Kami cuba berlari ke tempat lebih tinggi tetapi ombak itu lebih pantas daripada kami,” katanya.
Beberapa pelancong Australia turut terperangkap dalam bencana itu.
Sebuah bot pelancong dibadai dengan satu tembok air dan mangsa-mangsa yang menaikinya dibawa arus ke dalam hutan tetapi mereka selamat.
Satu lagi kumpulan sembilan peluncur ombak ditemui hidup selepas dilaporkan hilang.
Menurut beberapa pegawai, tsunami itu melanda sejauh 600 meter ke daratan di Pulau Pagai Selatan di Kepulauan Mentawai.
Di Pulau Pagai Utara, sebuah resort dan hampir 200 buah rumah musnah akibat tsunami.


Misteri imej wanita guna telefon bimbit pada 1928

LONDON - Imej seorang wanita misteri dalam filem The Circus lakonan pelawak terkenal, mendiang Charlie Chaplin pada tahun 1928 mencetuskan misteri apabila dia dilihat berbual dengan menggunakan sebuah telefon bimbit bersaiz kecil di telinganya, lapor sebuah akhbar semalam.
Mungkinkah dia seorang yang genius yang sedang menguji teknologi baru secara rahsia sehingga dia tidak menyangka gelagatnya yang sedang berbual seorang diri dengan tangannya seperti memegang satu alat seperti telefon bimbit telah dirakamkan oleh kamera filem berkenaan.
Dalam imej itu, tiada sesiapa pun yang berada berhampiran dengannya melainkan seorang lelaki berpakaian sut yang berjalan di depannya.
Lebih menghairankan, lenggok tubuhnya ketika bercakap seorang diri kelihatan sama dengan gaya orang yang berbual menggunakan telefon bimbit.
Penemuan itu dikesan oleh pemilik koleksi filem lama, George Clark.
Sejak penemuan itu, dia menunjukkan filem tersebut kepada lebih 100 orang namun tiada siapa yang dapat memberikannya penerangan yang meyakinkan berhubung gelagat wanita berkenaan.
Ada yang berpendapat wanita itu mendengar sebuah radio kecil.
Individu lain berpendapat wanita itu menunjukkan tanda-tanda menghidap penyakit schizophrenia.
"Satu-satunya teori saya ialah wanita tersebut merupakan seorang pengembara masa yang menggunakan telefon bimbit," kata Clark yang turut meletakkan klip video tersebut di laman perkongsian video, YouTube.
Dalam laman YouTube itu, terdapat adegan gerak perlahan yang menunjukkan wanita itu seperti sedang bercakap menggunakan telefon bimbit semasa dia berjalan dan berhenti pada satu ketika.

Tragedi goyang Inul
KUALA LUMPUR: Tindakan berani seorang suami yang cuba mempertahankan isterinya daripada dipaksa menari ‘goyang Inul’ oleh sekumpulan lelaki miang berakhir dengan tragedi apabila mangsa sebaliknya dipukul beramai-ramai hingga pengsan di dalam sebuah kelab dangdut, di sini.
Dalam kejadian itu mangsa yang juga kakitangan sebuah syarikat swasta cedera teruk di muka selepas ditumbuk dan dipukul kira-kira enam samseng disko yang tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa menghalang perbuatan suspek yang sengaja menarik isteri mangsa supaya menari bersama.
Sumber polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur berkata, dalam kejadian 3.45 pagi kelmarin, mangsa berusia 47 tahun bersama isterinya yang berusia 38 tahun sedang berhibur di sebuah kelab dangdut yang terletak di Jalan Raja Laut, di sini.
Menurutnya, isteri mangsa sedang leka berhibur sambil mendengar muzik bagaimanapun terkejut apabila seorang lelaki yang juga pelanggan pusat hiburan terbabit tiba-tiba menarik tangan isteri mangsa mengajak menari di pentas disko dangdut berkenaan.
“Bagaimanapun isteri mangsa enggan memenuhi permintaan lelaki yang dalam keadaan mabuk terbabit. Lebih kurang ajar apabila lelaki berkenaan seolah-olah mengabaikan kewujudan suami wanita terbabit yang berada di sisinya.
“Suspek yang berulang kali cuba memujuk dan merentap tangan isteri mangsa menyebabkan suami wanita terbabit hilang sabar sebelum masuk campur dengan menolak tubuh suspek terbabit,” katanya.
Menurutnya, tindakan mangsa terbabit bagaimanapun disedari lima rakan suspek yang meluru masuk campur dan bertindak menyerang mangsa beramai-ramai.
“Difahamkan mangsa tidak berdaya untuk mempertahankan dirinya berikutan jumlah suspek yang terlalu ramai selain diserang bertubi-tubi.
“Mangsa disepak dan ditumbuk berulang kali di tubuh dan muka oleh kumpulan penyerang berkenaan selama kira-kira lima minit hingga menyebabkan mangsa cedera teruk dan hampir tidak sedarkan diri,” katanya.
Menurutnya, isteri mangsa hanya mampu menjerit meminta tolong namun tiada sesiapa termasuk pekerja kelab dangdut terbabit yang datang untuk membantu mangsa yang dipukul separuh mati oleh geng mabuk berkenaan. “Bagaimanapun isteri mangsa akhirnya berjaya menarik mangsa keluar dari pusat hiburan berkenaan sebelum dihantar ke Hospital Pantai untuk mendapatkan rawatan segera.
“Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, di sini, berhubung kes berkenaan pada hari sama,” katanya. Susulan laporan dibuat itu polis segera menjalankan siasatan mengikut seksyen 147 Kanun Keseksaan dan memburu kumpulan penyerang berkenaan.


'Berlaku sekelip mata'
KUALA LUMPUR: “Segalanya berlaku sekelip mata...tak ubah seperti filem letusan gunung berapi yang biasa kita tonton,” kata Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Indonesia, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar yang melalui sendiri detik cemas selepas Gunung Merapi tiba-tiba meletus ketika dia dalam perjalanan untuk memindahkan pelajar Malaysia di Secang, Magelang, petang kelmarin.
Katanya, kira-kira 10 minit sebelum letusan, berlaku hujan lebat diikuti letusan pertama mengeluarkan debu panas dan dianggarkan suhu debu lahar gunung berapi itu mencecah antara 400 hingga 600 darjah Celcius.
“Keadaan menjadi lebih teruk apabila hujan lebat itu disertai lumpur kesan letusan berkenaan menyebabkan penduduk sekitar mengalami kesukaran untuk bernafas selepas lumpur turut mengeluarkan bau sulfur yang kuat dan busuk,” katanya. Beliau yang keluar dari kenderaan untuk merasai sendiri pengalaman berada dalam suasana itu pada awalnya turut mengalami sesak nafas selepas ruang udara di lokasi berhampiran Gunung Merapi itu dipenuhi debu menyebabkan dia kembali ke dalam kenderaannya.
Harian Metro difahamkan jarak penglihatan juga menjadi terhad iaitu antara 10 hingga 15 meter.
Malah beliau yang berada berhampiran dengan lokasi yang dikenali ‘zero point’ atau kawasan Gunung Merapi berkenaan turut memaklumkan kesan dari hujan lumpur akibat letusan berpanjangan dilaporkan mencakupi sehingga 300 hingga 400 kilometer membabitkan beberapa lokasi di Jawa Barat. Junaidy berkata, semua 37 pelajar yang menuntut di sebuah pesantren itu berjaya dipindahkan bermula jam 12 tengah malam sebelum berakhir jam 3 pagi.
“Semua pelajar terbabit kini ditempatkan di sebuah motel di Solo yang jaraknya kira-kira 65 kilometer dari zero point yang dijadikan pusat transit sementara. “Urusan pemindahan lebih lancar apabila sepasukan 26 pelajar sukarelawan Malaysia yang mengambil kursus kedoktoran di sini turut membantu,” katanya.
PADANG: Pesawat dan helikopter yang penuh dengan pekerja penyelamat dan bekalan bantuan mendarat buat kali pertama di kepulauan pedalaman Indonesia semalam selepas kawasan berkenaan dilanda tsunami setinggi tiga meter lewat Isnin lalu, meragut sekurang-kurangnya 311 nyawa.
Seramai 160 cedera manakala 410 lagi hilang.
Gambar pertama yang dirakam menerusi udara menunjukkan sebahagian besar kawasan itu ditenggelami air dan tempat kediaman musnah akibat dipukul ombak besar itu.
Ia satu daripada dua bencana yang melanda Indonesia dalam tempoh 24 jam. Gunung berapi paling aktif di negara itu, Gunung Merapi yang terletak kira-kira 1,300 kilometer ke timur Sumatera meletup petang kelmarin, mengeluarkan asap dan menyebabkan 30 orang terbunuh.
Kedua-dua kejadian itu berlaku di sepanjang Lingkaran Api yang terdedah kepada gempa bumi dan kegiatan gunung berapi.
Sejak gempa melanda Kepulauan Mentawai malam Isnin lalu, ombak kuat dan cuaca buruk menjejaskan operasi menyelamat, menyebabkan penduduk terpaksa berdikari untuk menyelamatkan diri.
Tanpa tenaga secukupnya untuk menggali kubur, mayat terbiar bergelimpangan di kawasan pantai dan jalan raya, kata ketua daerah di kepulauan itu, Edison Salelo Baja.
Pegawai bantuan bencana masih berusaha menjejaki lebih 12 kampung di kawasan paling teruk terjejas di Kepulauan Mentawai, destinasi popular untuk peluncur ombak.
Kawasan itu hanya boleh dimasuki dengan menaiki bot selama 12 jam.
Ketua Pusat Bencana Kementerian Kesihatan, Mujiharto berkata, pegawai bantuan membawa bersama-sama mereka beratus-ratus beg mayat.
Gempa dengan magnitud 7.7 itu yang melanda lewat Isnin lalu berlaku 20 kilometer di bawah dasar lautan. Ia diekori dengan sekurang-kurangnya 14 gegaran susulan dengan yang terkuat berukuran 6.2.
Ketua Pusat Pengurusan Bencana Sumatera Barat, Harmensyah berkata, jumlah korban akibat tsunami itu meningkat kepada 311 orang dan lebih 400 penduduk hilang.
Pegawai berkata, beratus-ratus rumah kayu hanyut di Pulau Pagai dengan sebahagian besar kawasan pertanian dan jalan raya ditenggelami air.
Di Muntei Baru, sebuah kampung di Pulau Silabu, 80 peratus kediaman rosak teruk.
Kedua-dua pulau itu adalah sebahagian daripada kepulauan Mentawai, kira-kira 270 kilometer dari pantai barat Sumatera.
Humban anak keluar tingkap
MUMBAI: Seorang wanita India yang melahirkan sepasang kembar pra-matang ditahan di Mumbai kerana disyaki melemparkan seorang daripada bayinya keluar dari tingkap hospital, kata sumber polis dan hospital.
Wanita terbabit menghumban bayi perempuannya dari tingkat bawah tingkap bilik air Hospital KEM di tengah-tengah bandaraya Mumbai awal pagi, semalam. Bayi itu yang ditemui dengan kecederaan di kepala kemudian meninggal dunia.
Ibu bayi itu pada awalnya mendakwa anaknya dicuri tetapi kamera keselamatan menunjukkan wanita berkenaan yang pergi ke bilik air bersama bayinya keluar seorang diri sejurus kemudian. Pihak polis menahan wanita itu kerana disyaki membuang bayinya. Akhbar Indian Express yang memetik kenyataan Inspektor Vikram Patil melaporkan, wanita itu mungkin akan didakwa dengan tuduhan lebih berat iaitu membunuh.
Dekan Hospital KEM, Sanjay Oak berkata kepada agensi berita Press Trust of India: “Kami tidak tahu apakah faktor yang menyebabkan wanita itu melakukan tindakan drastik sedemikian.” Media India melaporkan pasangan kembar itu seorang lelaki dan perempuan yang dilahirkan pra-matang pada usia tujuh setengah bulan dengan kekurangan berat badan dipindahkan ke hospital kerajaan berkenan awal bulan ini.

No comments: