Friday, October 29, 2010

daily news pick by me - 29/10/10

Awan panas luar biasa-Gunung Merapi meletus kali kedua

YOGYAKARTA – Gunung Merapi dekat sini meletus buat kali kedua semalam dalam tempoh tiga hari, dan kali ini menyemburkan awan panas abu volkanik sehingga 3,500 meter ke udara.
Kejadian itu berlaku pada pukul 4.40 petang waktu tempatan.
“Awan panas muncul kembali, setelah pasca letusan pertama yang berlaku pada Selasa lepas,” kata Ketua Balai Penyelidikan dan Pengembangan Teknologi Kegunungapian (BPPTK) Yogyakarta, Subandriyo semalam seperti dilaporkan agensi berita Bernama.
Awan panas itu, katanya, masih tergolong sebagai kecil dengan radius luncuran mencapai sekitar 3,500 meter dari puncak Gunung Merapi.
Dalam kejadian letusan sejak petang Selasa lepas, 33 orang telah terbunuh termasuk Jurukunci Gunung Merapi Mbah Maridjan, 83, serta seorang wartawan portal berita Vivanews.
Dalam letusan Selasa itu, Merapi menyembur awan panas abu volkanik sehingga 1,500 meter dan kesan abunya sampai sehingga ke Ciamis, Jawa Tengah, yang terletak 300 kilometer jauhnya.
Ia menurunkan hujan abu volkanik bersuhu 600 darjah Celsius di kawasan gunung berapi teraktif di dunia yang berusia 400,000 tahun itu dan memusnahkan beberapa perkampungan di kaki gunung tersebut.
Mangsa-mangsa yang terkorban akibat terkena debu panas dikebumikan secara beramai-ramai di dua tempat berasingan.
Mbah Maridjan dan empat yang lain dikebumikan di Kampung Srunen, Glagahsari, Sleman semalam manakala yang lainnya di Kampung Sidoredjo, Sleman.
Akhbar Kompas.com berkata, keranda kayu yang membawa jenazah Mbah Maridjan dipecahkan oleh penggali kubur sebelum dimasukkan ke dalam liang lahat.
Mbah Maridjan ditemui meninggal dunia dalam keadaan bersujud di rumahnya dekat Gunung Merapi di Kampung Kinahrejo selepas dia enggan berpindah atas alasan menjaga amanah menjaga gunung tersebut selepas dilantik oleh Sultan Jogja.
Sementara itu, angka kematian akibat tsunami di Kepulauan Mentawai di perairan Sumatera meningkat kepada 343 orang selepas lebih banyak mayat ditemui.
Tsunami itu berlaku pada Isnin lalu selepas berlakunya gempa bumi dalam laut sekuat 7.7 pada skala Richter.

Korban jangkau 500 - tsunami
PAGAI UTARA (Indonesia): Angkat kematian akibat tsunami yang melanda pulau pendalaman Indonesia dijangka menjangkau 500 orang.
Sehingga semalam, 343 orang disahkan mati tetapi, kebimbangan semakin meningkat mengenai nasib beratus-ratus penduduk yang masih hilang selepas ombak besar itu melanda Kepulauan Mentawai di pesisir pantai barat Sumatera Isnin lalu.
Pegawai bantuan berkata, banyak mayat ditemui bergelimpangan di kawasan pantai. “Sepuluh minit selepas gempa itu kami terdengar bunyi seperti letupan di luar. “Ketika itu baru kami sedari tsunami berlaku,” kata Chandra, suri rumah berusia 20 tahun ketika ditemui di Pagai Utara, satu daripada dua pulau paling teruk dilanda bencana itu.
Dalam keadaan bingung dan kepenatan, dia berusaha mencari bayinya berusia enam bulan yang hilang sejak kejadian itu.
Mayat suaminya sudah ditemui oleh jiran di kampung mereka di Muntei Baru.
Pegawai Pengurusan Bencana, Ferry Faisal berkata, 343 orang terbunuh dan 338 masih hilang.
Kapal membawa bantuan, termasuk makanan, air dan bekalan ubat serta beg mayat, tiba di Sikakap di Pulau Pagai Utara, semalam.
Bagaimanapun, beberapa bot yang turut membawa bekalan bantuan berdepan dengan cuaca buruk di sekitar kepulauan Mentawai yang mengambil masa setengah hari perjalanan dari pelabuhan di Padang, Sumatera.


Jurukunci bersemadi dalam kubur besar
YOGYAKARTA: Jurukunci Gunung Merapi, Mbah Maridjan, 83, bersama-sama 31 mangsa letusan Gunung Merapi dikebumikan dalam satu kubur besar di Tanah Perkuburan Srunen, Glagaharjo, kira-kira 7 kilometer dari Gunung Merapi, semalam.
Upacara berkenaan turut dihadiri Ketua Umum Parti Golkar, Abu Rizal Bakrie, selain ribuan penduduk.
Menurut seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Achmad, 26, mereka sangat menghormati lelaki terbabit kerana dia adalah juru kunci yang dilantik Sri Sultan Hamengkubuwono IX sejak 1982 bagi menjaga Gunung Merapi. “Sebagai jurukunci Gunung Merapi, penduduk setempat menganggap Mbah Maridjan sebagai seorang yang mempunyai ilmu tinggi.
“Malah, dia ternyata mempunyai keramat tersendiri kerana dianggap penduduk setempat mampu untuk mengawal Gunung Merapi dengan melakukan upacara untuk mengelak letusan seperti dilakukan pada 2006 ,” katanya.

Pbunuhan kejam
AMPANG: Mayat seorang remaja perempuan dipercayai dibunuh ditemui dalam beg pakaian berwarna hitam dengan tubuh dan kakinya dilipat bersama-sama sejumlah pakaian, semalam.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Ahmad Tajol Ansar Ibrahim am@hmetro.com.my Beg berisi mayat itu ditemui pekerja bengkel berhampiran kawasan semak di tepi parit tidak jauh dari tanah rizab Jabatan Bomba dan Penyelamat di Jalan Ukay Perdana, Hulu Klang, kira-kira jam 3.30 petang.
Kejadian menyayat hati itu hampir mengulangi insiden sama pada 17 September 2007 lalu apabila mayat Nurin Jazlin Jazimin, 8, turut ditemui mati dibunuh dalam beg pakaian sebelum dibuang di Petaling Jaya.
Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan yang ditemui di lokasi kejadian turut tidak menolak kemungkinan mangsa diculik sebelum dibunuh kejam.
Walaupun tiada sebarang laporan polis berhubung kehilangan remaja perempuan di daerah Ampang, beliau percaya kemungkinan mangsa dibawa dari luar daerah ini sebelum mayatnya dibuang di kawasan berkenaan.
“Oleh itu orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta segera membuat laporan polis,” katanya.
Difahamkan, pekerja bengkel terbabit menemui beg berisi mayat itu ketika dia melalui kawasan berkenaan yang terletak tidak jauh dari Rumah Bakti Hulu Klang.
Pekerja terbabit dikatakan menunggang motosikal melintasi jambatan berhampiran sebelum melihat satu beg hitam mencurigakan dibuang di kawasan itu.
Sifat ingin tahu menyebabkan lelaki terbabit cuba mengangkat beg berkenaan, namun mendapati ia terlalu berat dan menyangka beg berkenaan mengandungi wang tunai.
Bagaimanapun, apabila dibuka, dia ternampak kaki manusia terjulur dalam beg berkenaan, menyebabkan dia bertempiaran lari dan membuat laporan polis.
Abdul Jalil berkata, bertindak atas laporan diterima sepasukan anggota unit ronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang segera dihantar ke lokasi kejadian.
“Pemerhatian awal mendapati mangsa remaja perempuan berusia lingkungan 12 hingga 13 tahun. Ketika ditemui mangsa memakai gaun biru dan ditutupi baju lusuh yang turut disumbatkan ke dalam beg itu.
“Pemeriksaan turut mendapati terdapat kesan darah pada pakaian dipakai mangsa,” katanya. Menurutnya, mangsa yang berkulit sawo matang dan berambut lurus paras bahu dipercayai baru dibunuh dan dibuang ke kawasan itu.
“Besar kemungkinan remaja perempuan itu rakyat tempatan, namun siasatan lebih terperinci masih dilakukan. Polis percaya mangsa dibunuh dalam tempoh kurang 24 jam berikutan tubuhnya masih dalam keadaan baik,” katanya.
Menurut Abdul Jalil, siasatan awal unit forensik polis mendapati terdapat kesan lebam pada leher mangsa, namun belum dipastikan sama ada ia kesan cekik atau jerutan.
“Selain itu polis turut menemui satu beg tangan mengandungi nama lelaki, mungkin warga Indonesia berserta nombor telefon. Polis akan menjejak lelaki itu untuk mengetahui kaitannya dengan mangsa,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Ditanya sama ada mangsa turut diperkosa sebelum dibunuh, Abdul Jalil berkata, pihaknya belum dapat memastikannya sehinggalah bedah siasat dijalankan.
“Tiada sebarang dokumen atau pengenalan diri ditemui pada tubuh mangsa. keadaan ini sedikit sebanyak menyukarkan polis untuk menyiasat identiti mangsa berkenaan,” katanya.

2 comments:

Syed Nizam Syed Omar said...

Apakah hikmah dari kejadian ini?Hendak lari kemana jika siksa allah sedang datang?

Bila agama mula di lupakan.Bila nafsu menjadi ikutan.
Inilah manusia yang mengikut hawa nafsu sebagai Tuhan.

Allah SWT telah menyembunyikan enam pekara

Unknown said...

tu la..mnakutkan...minta djauhkan