Friday, December 3, 2010

daily news pick by me - 03/12/10

4 pelancong parah dibaham jerung
KAHERAH: Seekor jerung putih menyerang dan mencederakan empat pelancong Russia yang sedang berenang berhampiran hotel mereka dalam dua kejadian berasingan di kawasan percutian Laut Merah, kata pegawai kerajaan, semalam.
Pengarah Pusat Pemuliharaan Sinai, Mohammed Salem, berkata kejadian pertama berlaku di kawasan Ras Nasrani, berhampiran pusat percutian terkenal Mesir, Sharm el-Sheikh di Semenanjung Sinai.
Katanya, dua pelancong Russia sedang berenang apabila jerung berkenaan menyerang dan membaham tangan mereka menyebabkan kecederaan parah.
“Jerung itu mungkin turut terbabit dalam serangan berasingan - juga membabitkan dua pelancong Russia - pada Selasa lalu tidak jauh dari situ,” katanya, semalam.
Dalam kejadian itu, kata Mohammed, jerung berkenaan membaham kaki dan mencederakan belakang seorang wanita pertengahan usia.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila mangsa kemudian mengalami serangan jantung.
“Dia akhirnya berjaya disedarkan semula di hospital,” katanya.
Mangsa kedua adalah wanita berusia 70 tahun yang cedera parah pada tangan kanan dan kaki kiri.
Saksi yang juga jurulatih menyelam, Hassan Salem, berkata dia dikelilingi jerung itu untuk seketika sebelum berjaya menakutkannya.
“Saya menghembus buih udara di depan mukanya menyebabkan jerung berkenaan berenang ke arah pelancong terbabit dan membaham kakinya,” katanya.
Sejurus kemudian, kata Hassan, air di kawasan itu bertukar menjadi merah kerana darah yang keluar daripada kecederaan pelancong Russia berkenaan.
Dia kemudian segera berenang ke arah mangsa untuk membawanya ke pantai dan dikejarkan ke hospital.
Semua mangsa dibawa ke Kaherah untuk rawatan kecemasan dan keadaan mereka masih kritikal.

Orang Utan paling gemuk di Britain
LONDON - Seekor Orang Utan betina bernama Oshine di Britain mencetuskan sensasi di Internet, lapor sebuah akhbar semalam.
Oshine menjadi tumpuan selepas ia muncul sebagai Orang Utan paling gemuk di Britain dengan beratnya mencecah 100 kilogram atau sekali ganda berat Orang Utan biasa.
Pakar-pakar percaya gaya hidupnya sebagai haiwan peliharaan selama 13 tahun di Afrika Selatan telah menyebabkan Oshine menjadi gemuk.
Bimbang dengan tahap kesihatannya itu yang akan terjejas akibat kegemukan, Oshine kini menjalani terapi diet serius bagi menurunkan berat badannya kepada normal sejak awal tahun ini.


Penduduk bandar Meoqui berkabung
MEOQUI - Penduduk bandar kecil di sini, utara Mexico, berkabung bagi memperingati seorang ketua polis wanita, Hermila Garcia satu-satunya penduduk yang sanggup memegang jawatan ketua polis akhirnya mati ditembak anggota kartel dadah negara itu, lapor sebuah akhbar semalam.Garcia, 38, menjadi ketua polis Meoqui, negeri Chihuahua dua bulan lalu sebelum dia ditembak pada Isnin lepas.Dia diserang ketika memandu bersendirian ke tempat kerjanya.
Garcia yang merupakan bekas peguam dan masih bujang, merupakan segelintir wanita yang berani memikul tanggungjawab sebagai ketua polis di beberapa buah bandar di Mexico selepas kaum lelaki mengelak untuk memegangnya kerana takut.Dikenali dengan gelaran La Jefa Garcia, dia tidak membawa senjata atau pengawal peribadi semasa kejadian.Keganasan dadah telah meragut nyawa hampir 30,000 orang di Mexico sejak Presiden Felipe Calderon memegang jawatan itu pada 2006.Dia menghantar kira-kira 45,000 askar bagi memerangi kartel-kartel dadah.

No comments: