(Kisah ini dialami oleh rakan karibku... di sebuah sekolah berasrama penuh....) Tandas asrama blok B memang sudah terkenal dengan keseramannya. Ramai senior menceritakan perihal tandas itu kepada kami (junior). Ada yang nampak kepala oranglah, tangan berbululah, dan bermacam-macam lagi. Tapi aku sama sekali tidak percaya akan cerita-cerita karut itu. Pada fikiranku cerita tersebut sengaja direka-reka oleh pelajar senior untuk menakut-nakutkan kami. Lagipun aku dibekalkan tangkal oleh nenekku. Menurutnya, kegunaan tangkal ini adalah untuk menghalau syaitan dan iblis. Tetapi, suatu peristiwa telah berlaku yang menyebabkan aku tidak mempercayai nenekku lagi.............
Pada suatu malam, aku belajar seorang diri di bilik study. Kawan-kawanku yang lain semuanya sudah balik ke dorm masing-masing. Oleh kerana aku memikirkan peperiksaan sudah dekat, aku memilih untuk terus tinggal di bilik study. Selepas beberapa jam, aku mula berasa mengantuk. Aku mengemas barang - barang dan naik ke dorm. Sudah menjadi tabiatku, sebelum tidur aku mesti menggosok gigi dan membuang air kecil. Aku berjalan seorang diri masuk ke dalam tandas. Tiba-tiba lampu seluruh blok asrama terpadam.
"Ah, blackout!!,"gerutu hatiku.
Apabila kakiku melangkah ke dalam tandas. Aku dapat melihat kelibat tubuh orang sedang menggosok gigi di hadapan cermin. Aku dengan ramahnya melemparkan senyum pada orang tersebut. Sedang aku menggosok gigi, aku terdengar bunyi yang ganjil datangnya daripada orang tersebut. Aku mula berasa takut dan memandang orang itu dengan teliti. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat orang itu menggosok giginya dengan pisau dan mulutnya berlumuran darah!
Aku terkejut. Apa lagi, tidak menunggu lama aku terus berlari meninggalkan tandas tersebut sambil menjerit. Seluruh isi asrama terjaga. Oleh kerana terlampau terkejut, aku pengsan. Apabila sedar, didapati aku telah berada di dalam bilik rawatan asrama. Aku menceritakan apa yang berlaku pada malam itu. Semua kawan-kawanku tercengang dan melopong.
Mulai dari malam itu, aku berjanji pada diriku bahawa aku tidak akan belajar sehingga lewat malam lagi.
No comments:
Post a Comment