Ibu, anak samun 5 bank
METZ: Seorang peniaga wanita dan anak lelakinya didakwa kerana merompak lima bank untuk ‘membalas dendam terhadap negara’, semalam.
Bekas penuntut undang-undang, Fabienne Levy, 51, dan Jeremie, 21, dituduh melarikan kira-kira RM736,000 dari dua bank di Jerman dan tiga lagi di Perancis pada 2006 dan 2007.
Jeremie - masih di bawah umur ketika rompakan dilakukan - dituduh bersubahat dengan Fabienne dengan menjadi pemandu kepada pemilik kedai berkenaan ke tiga bank yang akan dirompak.
Jeremie berdepan hukuman penjara 10 tahun, manakala ibunya 20 tahun.
Dalam perbicaraan, Fabienne memberitahu mahkamah di Metz, dia tiba di bank berkenaan memakai rambut palsu serta cermin mata gelap.
Senjata yang digunakan - satu penyembur lada.
Katanya, dia menggunakan bahasa Jerman dan tidak ganas ketika melakukan rompakan berkenaan.
“Saya mengucapkan ‘Helo’ ketika tiba,” katanya.
Menurut Fabienne, dia meluat dengan sistem keadilan selepas dikecewakan pada 2005 apabila keretanya dicuri bekas suaminya.
Pegawai penyiasat berkata, bagi Fabienne, bank adalah institusi yang mewakili sistem sebuah negara yang menindas orang tidak bernasib baik.
Hidup Fabienne musnah selepas dia diisytihar muflis pada awal tahun 2000.
Menjelang perbicaraannya, Fabienne memberitahu sebuah stesen radio dia mahu ‘membalas dendam’ dan mendapatkan haknya semula.
Bagi Fabienne, dia tidak pernah menyesali perbuatannya itu.
“Ketika memiliki kedai dulu, bank melayan saya dengan sangat baik, tetapi apabila saya kesempitan wang, mereka menganggap saya tidak lebih daripada sekadar sampah,” katanya.
Suami didakwa rancang bunuh isteri
CAPE TOWN - Seorang ahli perniagaan Britain, Shrien Dewani, 30, merancang komplot untuk membunuh isterinya, Anni Dewani, 28, ketika mereka berbulan madu di Afrika Selatan, menurut beberapa keterangan di sebuah mahkamah semalam.
Tuduhan itu dibuat pendakwa raya, Rodney de Kock bahawa Shrien membayar dua pembunuh upahan sebanyak £1,400 (RM6,958) untuk membunuh isterinya selepas dua minggu mereka berkahwin.
"Mangsa dibunuh atas arahan suaminya," kata De Kock.
Menurutnya, ahli perniagaan itu mengupah pemandu teksinya, Zola Tongo supaya mengaturkan kedua-dua pembunuh upahan itu untuk menyerang teksi mereka ketika ia melalui bandar raya di sini pada 13 November lalu.
Kelmarin, Tongo dihukum penjara 18 tahun kerana terbabit dalam pembunuhan wanita Britain itu manakala dua lelaki yang dituduh membunuh Anni akan dihadapkan ke mahkamah pada 25 Februari depan.
Pihak pendakwa raya mendakwa Shrien membuat perancangan supaya dia dan pemandu teksi itu tidak dicederakan.
Dalam rancangan itu, isterinya perlu kelihatan mati dalam satu kes rompakan.
Mayat mangsa ditemui di satu kawasan di bandar raya itu.
Maklumat tersebut diperoleh daripada ketiga-ketiga lelaki terbabit sebagai persetujuan dengan pihak pendakwa raya supaya pertuduhan lebih ringan dikenakan ke atas mereka.
Dakwa doktor silap punca bayi mati
BAYAN LEPAS - Hati ibu mana yang tidak luluh apabila kelahiran cahaya mata yang amat dinanti-nantikan berakhir dengan tragedi.
Kepiluan itu menyelubungi Saadiah Sulaiman, 33, selepas kematian puteri tunggalnya semasa dilahirkan dikatakan berpunca daripada doktor yang menyambut kelahiran bayi tersebut gagal membuat keputusan yang betul.
Dia yang tinggal di Flat Taman Seri Bayu dekat sini dijangka melahirkan bayi seberat 3.4 kilogram dan sepatutnya dibedah, tetapi diminta lahir secara normal oleh pihak hospital atas alasan lebih mudah dan selamat.
Akibatnya, bayi perempuan yang sepatutnya menjadi pelengkap kepada dua puteranya lemas dalam kandungan dan terpaksa dibedah, tetapi meninggal dua hari selepas dilahirkan.
Menceritakan detik memilukan itu, Saadiah berkata dia dimasukkan ke Wad Bersalin Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 6 Ogos lalu setelah kandungannya berusia 40 minggu 10 hari.
Mati digilis selepas tercampak
PETALING JAYA - Tindakan seorang lelaki membuat pusingan 'U' di kawasan yang tidak dibenarkan mengundang padah apabila dia dan dua lagi rakannya mati dalam kemalangan di Kilometer 27.3 Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Shah Alam di sini semalam.
Kejadian pukul 3.20 pagi itu mengakibatkan pemandu kereta tersebut, Chong Jin Kong, 27, putus kaki kiri sebelum dia mati enam jam selepas mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Dua lagi rakannya, Liew Yuh Fen, 27, dan Fong Mun Fai, 18, pula mati di tempat kejadian.
Yuh Fen dan Mun Fai digilis sebuah treler selepas mereka tercampak ke laluan bertentangan manakala Jin Kong tersepit di dalam kereta akibat dirempuh sebuah kereta Proton Waja.
Pemandu Proton Waja, Sukvinderjit Singh Juwinder Singh, 27, pula cedera parah apabila tersepit di tempat duduk.
Lelaki mati dipijak gajah liar
GUA MUSANG – Keseronokan lima rakan mencari buah keranji di Hutan Bring dekat Pos Pasik di sini kelmarin berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka mati dipijak gajah liar.
Mangsa, Muhamad Adnan Iberahim, 26, dari Kampung Bertam Lama di sini dipijak gajah liar di bahagian badan dan kepala. Dia meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira pukul 5 petang.
Muhamad Adnan bersama empat rakannya dipercayai memasuki kawasan hutan tersebut untuk mencari buah keranji dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda kira-kira pukul 8 pagi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supritendan Saiful Bahri Abdullah berkata, sejurus sampai di hutan tersebut, kelima-lima sahabat itu kemudian berjalan kaki untuk mencari pokok keranji.
Bagaimanapun, menurutnya, mereka kemudian telah terserempak dengan sekumpulan gajah yang dikatakan mengejar mereka.
No comments:
Post a Comment