Pelajar 13 tahun dapat ikan gergasi
MEQUINENZA - Seorang pelajar berusia 13 tahun dari Britain, Jake North berjaya memancing seekor ikan air tawar gergasi bersaiz dua kali ganda lebih besar daripada dirinya, lapor sebuah akhbar semalam.
Pemancing cilik tersebut menaikkan ikan seberat 91.17 kilogram (kg) itu semasa dia dan keluarganya memancing di Sungai Ebro, dekat sini, Sepanyol ketika musim cuti sekolah di Britain baru-baru ini.
Bimbang dia ditarik ke dalam sungai, pemandu pelancong keluarga tersebut terpaksa memeluk pinggang Jake yang bertarung selama 25 minit sebelum ikan gergasi itu berhenti meronta dan ditewaskan.
"Amat jarang seorang budak sebaya Jake dapat menangkap ikan dengan berat melebihi 90 kg. Ramai nelayan gagal melakukannya walaupun mencuba selama beberapa tahun," kata bapanya, Russell North, 40.
Keluarga berkenaan menggunakan umpan bebola ikan sebesar bola golf yang dibawa sejauh 100 meter ke tengah sungai sebelum ia dicampak ke dalam sungai tersebut dari sebuah bot.
"Pada satu ketika, saya hampir berputus asa kerana kedua-dua tangan saya terasa sakit. Saya juga berasa letih selepas menewaskan ikan itu," kata Jake.
Lemas semasa bersihkan pakaian
MARANG - Seorang kanak-kanak yang baru pulang daripada bermain bola sepak lemas semasa membersihkan pakaiannya di Sungai Buaya, Bukit Payong di sini petang kelmarin.
Mangsa, Mohd. Muzammil Mohd. Hafzi, 12, dikatakan turun ke sungai itu untuk menghilangkan kesan lumpur pada pakaian kerana bimbang dimarahi ibunya.
Malangnya, mangsa yang berada di dalam sungai telah dihanyutkan arus deras ketika kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.20 petang itu.
Menurut bapa saudaranya, Subky Helmi Abd. Latif, 33, dua hari sebelum kejadian, mangsa dimarahi ibunya, Nur Zalia Wahyuni Abd. Latif, 36, apabila pulang dengan pakaian kotor selepas bermain bola sepak di Sekolah Kebangsaan Bukit Payong.
"Mungkin kerana bimbang dimarahi sekali lagi, dia telah mengikut rakan-rakannya pergi ke sungai itu untuk membersihkan pakaian," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Nahu, Bukit Payong di sini semalam.
No comments:
Post a Comment