3 minggu dalam tandas
PARIS: Seorang pesara warga Perancis berjaya diselamatkan selepas terperangkap dalam bilik mandinya sejak tiga minggu lalu.
Nenek berusia 69 tahun itu terperangkap selepas pintu bilik mandi itu terkunci pada 1 November lalu.
Dia terpaksa bergantung kepada air paip untuk hidup sebelum jirannya mengetahui kejadian yang menimpanya. Wanita itu yang namanya tidak disiarkan, diselamatkan oleh anggota bomba.
Rentung genggam kabel
KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang cuba mencuri kabel elektrik berhampiran Kondominium Marina Court di sini, ditemui rentung dalam keadaan terlentang dengan tangannya masih menggenggam kabel yang hampir terputus, semalam.
Difahamkan, lelaki berusia 23 tahun itu mati dipercayai akibat terkena renjatan elektrik berkuasa 11,000 volt (kV) beberapa hari lalu sebelum ditemui pengawal keselamatan yang terhidu bau busuk di sekitar kawasan itu, kira-kira jam 7.30 pagi.
Sebelum itu, pengawal terbabit memeriksa kawasan berkenaan selepas dimaklumkan mengenai bau busuk oleh orang ramai yang lalu-lalang di kawasan berkenaan. Ketika memeriksa di satu kawasan parit, pengawal itu terkejut melihat tubuh manusia terlentang dengan berpakaian gelap dipercayai terbakar sebelum memaklumkannya kepada polis.
Polis yang tiba beberapa minit kemudian terpaksa mendapatkan bantuan anggota bomba dan penyelamat bagi mengeluarkan mayat berikutan keadaan parit yang menyalurkan paip air bawah tanah itu agak sempit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, polis yang menerima panggilan orang ramai bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan. “Sebaik tiba, polis menemui satu mayat rentung dalam keadaan terlentang. "Oleh kerana kabel elektrik masih berfungsi, polis terpaksa meminta bantuan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk mematikan bekalan bagi membolehkan anggota bomba membawa keluar mayat terbabit,” katanya. Menurutnya, mayat mangsa ditemui dalam keadaan masih lengkap berpakaian dan polis menolak sebarang unsur jenayah. “Mangsa mati akibat terkena renjatan elektrik berdasarkan keadaan mangsa yang memegang kabel yang hampir terputus. "Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dibawa ke di Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk dibedah siasat," katanya.
Tetak bapa kekasih
AMPANG: Hanya kerana hubungan cinta dihalang, seorang lelaki menetak bapa kekasihnya menggunakan parang di depan rumah mangsa di Jalan Wawasan, Bandar Baru Ampang, di sini.
Kejadian kira-kira jam 6 petang Isnin lalu berlaku ketika mangsa yang berusia 40 tahun dan bekerja sebagai buruh baru pulang dari pasar malam tidak jauh dari rumahnya dengan menunggang motosikal.
Suspek dipercayai mengenali anak mangsa yang berusia belasan tahun sejak beberapa bulan lalu, tetapi mangsa dipercayai tidak merestui hubungan itu kerana suspek seorang warga asing. Menurut sumber polis, sebaik mangsa turun dari motosikalnya, suspek yang menyorokkan parang di belakang badannya memanggil lelaki itu, tetapi ia tidak diendahkan.
“Mangsa yang tidak mengesyaki sesuatu masuk ke rumah dan ketika itu, suspek menyerang dan menetak kepala serta badan mangsa sebelum melarikan diri.
“Anak saudara mangsa yang berusia 14 tahun dan berada di rumah itu menjerit kerana terkejut dengan tindakan suspek,” katanya. Menurutnya, dalam kekecohan itu, mangsa terjatuh berlumuran darah sebelum dia dibantu jiran yang keluar melihat apa yang berlaku selepas terdengar jeritan meminta tolong. “Mangsa yang parah dibawa anak saudaranya itu ke Hospital Ampang dan pemeriksaan mendapati tulang pinggulnya patah akibat ditetak suspek. “Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis dan susulan itu, seorang lelaki berusia 20-an yang juga warga Filipina ditahan,” katanya. Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, suspek menyerang dan menetak mangsa kerana tidak puas hati selepas hubungan cinta dia dan anak gadis mangsa tidak direstui. “Mungkin kerana berang tindakan mangsa yang menghalang cinta mereka membuatkan suspek sanggup menyerang dan menetak mangsa,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan mengesahkan kejadian terbabit. Katanya, berikutan laporan mangsa, polis menahan seorang lelaki berusia 20-an yang juga warga Filipina beberapa jam kemudian dan merampas sebilah parang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. “Kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,”
Korea Utara dakwa Korea Selatan provokasi
SEOUL - Korea Utara semalam mengulangi dakwaan bahawa Korea Selatan mencetuskan provokasi yang menyebabkan ia melancarkan serangan meriam sebanyak 170 kali ke atas Pulau Yeonpyeong kelmarin.
Semalam, sebuah agensi berita rasmi Pyonyang mendakwa, Korea Selatan melakukan provokasi dengan melepaskan beberapa belas tembakan ke arah perairannya.
"Kami melancarkan serangan balas yang segera bagi menentang provokasi pihak musuh (Korea Selatan)," kata kenyataan agensi berita berkenaan.
Dua anggota marin Korea Selatan dan dua penduduk awam terbunuh dalam serangan ke atas Pulau Yeonpyeong berhampiran sempadan Laut Kuning yang dituntut oleh kedua-kedua negara.
Berang dengan insiden tersebut, Korea Selatan bertindak membatalkan rundingan mengenai penyatuan keluarga antara kedua-dua negara pada hari ini dan menghentikan bantuan banjir kepada Korea Utara.
Tentera Korea Utara melancarkan serangan itu selepas Korea Selatan dikatakan mengadakan satu latihan ketenteraan dekat dengan sempadan.
Sementara itu, China menggesa kedua-dua pihak supaya bertenang dan segera berunding bagi meredakan situasi yang kini amat tegang.
1 comment:
patut pun dorang cakap Marina Condo tu seram hehehe...
Post a Comment