Wednesday, November 24, 2010

daily news pick by me - 24/11/10

Mati disyaki dikelar suami
Mangsa hamil ditemui pemilik rumah sewa terlentang dalam bilikJOHOR BAHRU: Seorang wanita mengandung ditemui mati dengan kesan kelar di lehernya dipercayai dilakukan oleh suaminya sendiri di rumahnya di Batu 16, Jalan Kastari, Ulu Tiram di sini, kelmarin. Rohana Hamzah, 26, ditemui pemilik rumah yang disewa mangsa dan suaminya dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah kira-kira jam 1 tengah hari sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Bapa mangsa, Hamzah Mohd, 51, mendakwa anaknya mengalami masalah rumah tangga.
"Semalam (kelmarin) arwah ada menelefon saya kira-kira jam 11.15 pagi meminta salinan kad pengenalannya yang ada dalam simpanan saya. Dalam perbualan itu, saya terdengar bunyi bising seperti pertengkaran sedang berlaku sebelum talian terputus. "Saya cuba menghubunginya kembali namun gagal kerana telefon bimbitnya dimatikan," katanya kepada Berita Harian ketika ditemui di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, semalam. Hamzah berkata, beliau kemudian menerima panggilan bapa saudara menantunya kira-kira jam 2.30 petang, memintanya datang ke rumah anaknya untuk berbincang mengenai masalah keluarga. "Ketika itu, hati saya semakin berdebar dan apabila sampai di rumah arwah, saya melihat orang ramai dan polis berada di pekarangan rumahnya. "Saya terkejut dan hampir pengsan apabila polis menunjukkan mayat anak saya dalam keadaan terlentang di dalam bilik utama," katanya. Hamzah berkata, beliau kemudian melihat suami mangsa dalam keadaan bergari dan dibawa polis. Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin, mengesahkan suami mangsa berusia 24 tahun yang juga suspek utama kes itu kini ditahan bagi membantu siasatan. Katanya, polis akan menyiasat kes itu secara menyeluruh dan meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi hingga menjejaskan siasatan.

Suu Kyi gembira bertemu anak
Dibenar temui Kim selepas 10 hari dibebas daripada tahananYANGON: Pemimpin prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi semalam menemui semula anak lelakinya yang ditemui kali terakhir sedekad lalu, dalam satu pertemuan penuh emosi di lapangan terbang Yangon, 10 hari selepas beliau dibebaskan daripada tahanan. Kim Aris, 33, akhirnya diberikan visa oleh rejim tentera negara berkenaan selepas menanti selama beberapa minggu di negara jiran, Thailand. Sejurus sebelum berjalan ke bangunan terminal lapangan terbang, Suu Kyi, 65, yang dibebaskan pada 13 November lalu, memberitahu pemberita: Saya amat gembira.
Suu Kyi kelihatan berlinangan air mata apabila beliau melihat anaknya buat pertama kali untuk sekian lama itu. Dengan senyuman, beliau terus memeluk anaknya dan kemudian beralih kepada jurugambar yang menunggu untuk merakamkan peristiwa itu, sebelum keluar dari lapangan terbang sambil berpegang tangan.
Sebagai tanda bahawa dia menyokong perjuangan ibunya, Kim dengan sengaja mendedahkan lengan kanannya kepada anggota keselamatan lapangan terbang dan orang awam, yang memaparkan tatu bendera dan simbol parti Suu Kyi, Liga Nasional Demokrasi (NLD). Suu Kyi melihatnya dengan dekat dan tersenyum. Bendera dan simbol berkenaan memaparkan burung merak lawan dan sebutir bintang. Suu Kyi mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa, menerusi peguamnya, kerana mengeluarkan visa kepada anaknya, yang tinggal di Britain dan kali terakhir menemui ibunya pada Disember 2000. Permohonannya untuk mendapatkan visa sebelum ini sudah beberapa kali ditolak pihak junta yang memerintah. Suu Kyi, yang menang Hadiah Nobel Keamanan 1991 kerana perjuangannya untuk mendapatkan demokrasi yang dilakukan tanpa sebarang kejadian keganasan, ditahan pertama kalinya pada 1989 apabila Kim baru berusia 11 tahun dan anak lelaki sulungnya, Alexander berumur 16 tahun. Beliau ditahan selama 15 daripada 21 tahun lalu. Suu Kyi mengakui bahawa perjuangan politiknya menimbulkan masalah kepada keluarganya.

Wanita Arab dera amah dipenjara
RIYADH - Seorang wanita Arab Saudi berusia 53 tahun yang mendera amahnya dari Indonesia, Sumiati Salan Musapa telah dipenjarakan selain menjalani penilaian mengenai mentalnya, lapor akhbar Al-Watan semalam.
Sumiati berumur 23 tahun kini dirawat di unit rawatan rapi Hospital King Fahd di Madinah selepas tubuhnya melecur akibat dipukul dengan batang besi panas oleh majikannya itu.
Dia turut dirawat kerana patah di tangan dan tulang rusuknya.
Beberapa pegawai Arab Saudi dan Indonesia berbincang di Madinah semalam bagi membincangkan kes penderaan itu.
Sebelum ini terdapat laporan bahawa bibirnya digunting tetapi dinafikan oleh bapa saudaranya yang menyatakan ia disebabkan dipukul berulang kali oleh majikannya.
Menurut akhbar Okaz, Suruhanjaya Hak Asasi Arab Saudi menawarkan bantuan undang-undang kepada Sumiati dan akan menyokongnya jika kesnya dibicarakan di mahkamah.
Kes Sumiati mendapat liputan meluas di Indonesia selepas dia dimasukkan ke sebuah hospital selepas didera pada 8 November lalu.

380 maut tertindih di Kemboja
PHNOM PENH, Kemboja - Ramai saudara-mara berkumpul di beberapa tempat menyimpan mayat di sini selepas sekurang-kurangnya 380 orang terbunuh manakala 750 lagi cedera dalam tragedi rempuhan di sebuah jambatan yang menghubungkan Pulau Berlian dengan tanah besar Kemboja pada malam kelmarin.
Pulau Berlian merupakan destinasi pelancongan popular di Kemboja.
Tragedi rempuhan itu berlaku ketika jutaan penduduk menggunakan jambatan tersebut untuk ke Pulau Berlian yang menempatkan gerai dan konsert bagi meraikan pesta tamat musim hujan di Kemboja.
"Angka kematian dijangka terus meningkat," kata jurucakap kerajaan, Phay Siphan.
Seorang lagi jurucakap kerajaan, Khieu Kanharith berkata, kejadian berlaku disebabkan khabar angin dalam kalangan pengunjung bahawa jambatan itu tidak stabil.
"Justeru, panik berlaku. Jambatan itu terlalu padat menyebabkan mereka (pengunjung) tiada tempat untuk melarikan diri," katanya.
Insiden berlaku ketika orang ramai berasak-rasak meninggalkan Pulau Berlian manakala polis dan orang ramai menyatakan, jambatan kecil itu tidak dapat menampung bilangan orang yang berulang alik ke pulau tersebut. Sebahagian orang terjun dari jambatan semasa insiden berasak-asak untuk menyelamatkan diri.
Kanharith berkata, mangsa-mangsa mati disebabkan sesak nafas dan kecederaan dalaman manakala dua pertiga daripada jumlah yang maut ialah wanita.
Sementara itu, Perdana Menteri Hun Sen menyifatkan tragedi itu sebagai yang terburuk sejak kezaliman rejim Khmer Rouge di Kemboja dari 1975 hingga 1979. Beliau mengisytiharkan esok sebagai hari berkabung.

2 comments:

Syed Nizam Syed Omar said...

ngeri baca berita pagi2 ni..pasal korea utara dan selatan ada info? nak gaduh aje diorang.

Unknown said...

jap i cari kan..giler kan..otak dah sewel kot