BANJARAN Titiwangsa menyimpan seribu satu khazanah alam tidak ternilai untuk diterokai. Selain keindahan flora dan fauna yang tersergam indah untuk diterokai, tanah tinggi itu juga menyemat keseronokan yang luar biasa.
Tidak lain tidak bukan sudah tentu Genting Highlands yang amat sinonim dengan jolokan Kota Keriangan.
Lokasi yang utuh bertapak di ketinggian 1,800 meter dari aras laut itu mula menggamit kehadiran pelancong dalam dan domestik sejak mula dibuka pada tahun 1971.
Kini, pelbagai tarikan tersedia untuk diterokai pengunjung termasuk taman tema dalam dan luar, gedung beli-belah kelas tinggi, variasi hentian gastronomi hinggalah kepada sensasi istirehat dan belaian diri.
Pendek kata, impian untuk melakar kenangan percutian indah dalam hidup boleh dikecapi di Genting Highlands.
Sempena musim cuti persekolahan kali ini, pasti ramai yang tidak melepaskan peluang untuk menikmati masa berkualiti bersama keluarga tersayang.
Molek kiranya Genting Highlands dicatatkan sebagai destinasi tumpuan tambahan pula dengan adanya Festival Belon Antarabangsa terbesar Asia Tenggara bermula hari Sabtu ini (11 Jun) hingga 26 Jun nanti.
Arca unik
Belon biasanya menjadi penyeri dekorasi majlis atau lokasi yang sering menjadi tumpuan si cilik.
Namun, sedikit kelainan bakal menemui peminat seni gubahan belon sempena festival tersebut.
Penganjuran hebat sulung itu mengambil tempat di tiga lokasi utama iaitu di Universal Walk First World Plaza, Snow World dan Taman Tema Luar Genting.
Menurut Penasihat Projek Balloon Matrix, Chelsea Tan, inisiatif untuk menjemput para seniman belon terkemuka dari Itali, Jepun dan Taiwan turut bertujuan memeriahkan atur cara cuti sekolah kali ini selain membuka perspektif baru kepada orang ramai.
“Kita biasa melihat formasi belon dipamerkan di tempat-tempat tertentu seperti pasar raya termasuk kehadiran badut yang memintal belon menjadi arca-arca kecil.
“Namun, kita jarang melihat belon digunakan untuk menghasilkan rekaan bersaiz besar dan bentuk-bentuk yang unik. Itulah tujuan utama festival belon ini diadakan,” katanya yang telah berkecimpung selama 20 tahun dalam bidang pembuatan belon kreatif.
Arca mega berkonsepkan makhluk asing akan dipamerkan di ketiga-tiga tempat tersebut hasil daripada penjanaan idea kreatif oleh para seniman seperti Alberto Falcone dan Federico Onida dari Itali, Stone Chang dari Taiwan serta pasangan Azusa Leizumi, Akane Shibata dan Charry dari Jepun.
Azusa yang sebelum ini pernah berkunjung ke Malaysia menyatakan keterujaannya untuk berada lebih lama di Genting Highlands kali ini.
Selain pameran arca belon terbesar dengan tema Alien Revolution, pentas peragaan pakaian yang diperbuat daripada belon bakal menemui pengunjung pada majlis pelancaran pada 11 Jun nanti.
Tumpuan juga harus diberikan kepada belon gas terbesar Asia Tenggara yang dikhaskan untuk kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah yang memiliki berat badan kurang daripada 30 kilogram.
Untuk merasai pengalaman luar biasa menaiki belon udara panas di tempat tertutup itu, bayaran serendah RM30 dikenakan untuk setiap sesi.
No comments:
Post a Comment