TIDAK kira sama ada anda peminat tegar filem Transformers, barangan watak filem tersebut atau kenderaan Chevrolet, pusat beli-belah One Utama mungkin menjadi lokasi paling tepat untuk dikunjungi sekarang.
Walaupun ruang pamerannya tidak sebesar mana, namun di sana anda boleh melihat secara dekat model Chevrolet yang menjadi watak Bumblebee dalam filem Transformers, Chevrolet Camaro SS.
Francais filem Transformers yang sudah memasuki edisi ketiga nyata melonjakkan lagi populariti jentera berwarna kuning itu ke seluruh dunia. Pernah dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) pada tahun lalu, Camaro SS itu menjadi tarikan utama untuk pengunjung meluangkan masa di sana selama beberapa ketika.
Dikenali sebagai siri jelajah Chevrolet Transformers 3, pameran yang berlangsung selama enam hari (7 hingga 12 Jun 2011) itu dianjurkan oleh pengedar jenama Chevrolet di Malaysia, Naza Quest Sdn. Bhd. (Naza Quest).
Menjadi pilihan
Ia bekerjasama dengan pihak pengedar filem United International Pictures (UIP) dan Hasbro Malaysia yang bertanggungjawab ke atas produk-produk barangan Transformers.
Pengarah Pemasaran UIP, Kara Lee menyatakan Transformers 3 - Dark of the Moon akan menjadi filem terbesar pada tahun ini. Buat masa sekarang, Transformers 2 - Revenge of the Fallen masih berada di tempat pertama di Malaysia berdasarkan kepada kutipannya. “Kami yakin filem terbaru Transformers ini mampu menyaingi rekod tersebut,” katanya.
Mengangkat tema “Transform the Future - Get Intimate with Chevrolet”, ia jelas mengambil kesempatan keterujaan orang ramai terhadap filem Transformers 3 - Dark of the Moon yang bakal ditayangkan pada 29 Jun nanti.
Kenderaan Chevrolet sering menjadi pilihan untuk dipaparkan dalam filem terbitan Hollywood. Misalnya, filem Meet the Little Fockers dan Mechanic. Tidak terkecuali siri televisyen terbitan FOX Channel seperti Hawaii-Five O serta Blue Blood.
Sebagai satu kempen promosi yang kena pada tempat dan masanya, Ketua Pegawai Operasi Naza Quest, Datuk Maruan Mohd. Said mengakui pameran ini bukan sekadar menayangkan beberapa model yang diedarkannya seperti SUV Captiva dan edisi terhad sedan popularnya, Cruze. Malah produk yang bakal diperkenalkan menjelang akhir tahun ini.
“Ini merupakan Cruze edisi terhad yang lebih sporty. Walaupun didatangkan dengan nilai tambah, harganya dikekalkan ketika ia mula dilancarkan pada Jun tahun lalu iaitu RM97,888 seunit. Kami hanya menghasilkan sebanyak 300 unit dan kebanyakannya sudah pun dijual,” jelas Maruan.
Namun, model yang paling mendapat perhatian pastinya trak pikap Chevrolet Colorado. Memulakan debut antarabangsanya di Bangkok Motor Show ke-32 pada awal tahun lalu, model yang dipamerkan itu hanyalah sebuah trak pertunjukan.
Warisan pengalaman 100 tahun
Maksudnya, Colorado itu dihasilkan sepenuhnya menggunakan tangan dan hanya ada dua buah seumpamanya di dunia. Sehinggakan pengacara majlis pada hari itu meminta kami semua supaya tidak terlalu ghairah memegang trak tersebut bagi memastikan tidak ada apa yang akan tertanggal nanti.
Harus tahu bahawa Chevrolet Colorado memiliki warisan pengalaman pembuatan trak Chevrolet selama hampir 100 tahun. Dibangunkan di atas Platform Global Chevrolet, Colorado menyerlah menerusi rekabentuknya yang maskulin dan ekspresif.
Trak dengan kapasiti dua tempat duduk itu mempunyai bukaan pintu yang unik, sama seperti model Nissan Navara King Cab dan Mazda BT-50 Freestyle Cab.
Trak itu turut menggunakan rim bersaiz 20 inci dan tayar untuk kegunaan off-road. Chevrolet dijangka menawarkan Colorado dengan varian enjin turbo diesel bersesaran 2.5 dan 2.8 liter. Didakwa mampu menghasilkan kuasa dan tork yang mengagumkan, enjin itu juga tidak hauskan bahan api.
Dengan pelbagai ciri penambahbaikan, sistem keselamatan dan kemampuan mendahului kelasnya, Colorado dilihat menjadi model yang sesuai untuk pasaran global. Ditanya mengenai harganya, Maruan menyatakan Colorado akan ditawarkan pada harga yang sangat kompetitif.
Rancangan untuk membawa masuk Colorado ke pasaran tempatan dibuat kerana wujud permintaan terhadapnya. Apatah lagi, Naza Quest turut memiliki rangkaian pengedarnya di Sabah dan Sarawak yang merupakan pasaran penting untuk trak pikap.
Kini, terdapat 16,000 pemilik Chevrolet di seluruh negara. Sejak mengambil alih jenama tersebut daripada DRB Hicom, Naza Quest komited dalam memperkenalkan model-model terbaik Chevrolet kepada pengguna tempatan.
Kembangkan portfolio pengedar
Buktinya, model-model seperti Captiva dan Cruze mendapat sambutan hangat daripada khalayak. Di samping trak pikap Colorado yang dijangka menjengah pasaran pada Disember tahun ini, Naza Quest juga merancang memperkenalkan model MPV, Orlando.
Bagi mengukuhkan lagi jenama Chevrolet, anak syarikat Kumpulan Naza itu juga merancang mengembangkan portfolio pengedarnya ke seluruh negara. Sebanyak sepuluh pengedar baru akan dilantik menjelang akhir tahun ini, tambahan kepada 18 pengedar sedia ada. Buat masa sekarang model paling laris ialah Cruze.
Naza Quest cukup komited untuk membangunkan jenamanya. Ia dilihat aktif terlibat dalam pelbagai aktiviti dan penajaan. Sebagai contoh, orang ramai berpeluang melihat kelibat kenderaan Chevrolet terutama Captiva dalam program Jelajah 1Malaysia, Formula 1 dan terbaru Sukan Malaysia (Sukma), selain Pertandingan Band Dunia yang bakal diadakan pada Julai depan.
Cabaran paling besar yang harus didepani oleh Naza Quest adalah untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap jenama Chevrolet.
No comments:
Post a Comment